Remaja korban pertama banjir

http://beritaharianlive.blogspot.com/2013/12/remaja-korban-pertama-banjir.html
![]() |
Bandar Kuantan dari pandangan atas. |
KEMAMAN 3 Dis. - Banjir yang mula melanda Terengganu, Pahang dan Johor berikutan hujan berterusan sejak semalam semakin teruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di tiga negeri itu meningkat kepada 16,837 orang sehingga malam ini.
Seorang remaja yang diserang sawan menjadi mangsa pertama banjir apabila dia ditemui mati lemas selepas bot dinaikinya bersama bapa dan sepupunya terbalik di Kampung Banggol, Ladang Pelatoh, Kijal di sini semalam.
Mohd. Asraf Mohd. Nor, 17, dihanyutkan arus deras kira-kira pukul 5.30 petang dan mayatnya ditemui pukul 1 pagi ini oleh pasukan penyelamat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman memberitahu, seorang kanak-kanak yang belum diketahui jantina dikhuatiri hilang di Kijal akibat limpahan air pasang besar.
Di KUALA TERENGGANU, sebanyak 2,255 orang melibatkan 564 keluarga di tiga daerah telah dipindahkan ke 37 pusat pemindahan sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, selain Kemaman, beberapa kawasan di daerah Hulu Terengganu dan Dungun mula dinaiki air awal pagi menyebabkan sebanyak 37 pusat pemindahan dibuka berbanding semalam hanya tiga.
Daerah Kemaman menyaksikan paling ramai mangsa terlibat iaitu 1,756 orang daripada 436 keluarga dengan 27 pusat pemindahan banjir telah dibuka.
Pusat pemindahan banjir tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, Balai Raya Padang Kemunting, Masjid Batu 14, SK Seberang Tayor, Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Haji Osman dan Dewan Jambi Pasir Gajah.
Selain Kemaman, banjir turut melanda Hulu Terengganu dengan enam pusat pemindahan dibuka iaitu Balai Raya Paya Besar, Balai Raya Kampung Ceting, Bangunan Pengkalan Ajal, Surau PPSK Kampung Menerong dan Masjid Pengkalan Ajal yang menempatkan seramai 244 mangsa melibatkan 60 keluarga.
Di KUANTAN, keadaan banjir semakin buruk apabila sebanyak 9,030 mangsa daripada 2,095 keluarga telah dipindahkan ke 69 pusat pemindahan di lima buah daerah.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, daerah yang terlibat adalah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut.
"Daripada jumlah itu, Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.
"Di Rompin pula sebanyak 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan ke 13 pusat pemindahan," katanya.
Di Pekan pula, sebanyak 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.
"Jerantut pula merupakan daerah terbaru yang mengalami banjir di mana hanya satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," katanya.
Di JOHOR BAHRU, sebanyak 5,552 mangsa daripada 1,586 keluarga di enam daerah di negeri ini kini ditempatkan di 47 pusat penempatan banjir di kawasan masing-masing.
Antara daerah yang terlibat adalah Mersing, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan terbaru, Muar dan Batu Pahat.
Sehingga pukul 6.30 petang, Mersing masih menjadi daerah yang paling teruk terjejas apabila seramai 4,308 mangsa dipindahkan ke 19 pusat penempatan banjir di daerah itu dan diikuti Segamat dengan 1,110 mangsa ditempatkan di 21 pusat penempatan banjir.
Di Kota Tinggi pula, sebanyak 106 mangsa ditempatkan di tiga pusat penempatan banjir manakala sebanyak 114 mangsa di Kluang ditempatkan di dua pusat penempatan banjir.
Muar menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebanyak 87 mangsa ditempatkan di sebuah pusat penempatan di Pusat Banjir Felda Maokil manakala Batu Pahat sebanyak 13 mangsa dipindahkan di sebuah pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Haji Kamisan.
Beliau berkata, laluan yang terlibat ialah Km 7 Jalan Nitar-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Mersing berdekatan Kampung Sungai Ara.
"Sebahagian daripada laluan di KM 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan akibat berlaku kejadian tanah runtuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.