Neelofa rajin ikuti kelas agama

http://beritaharianlive.blogspot.com/2014/09/neelofa-rajin-ikuti-kelas-agama.html
Pelakon dan pengacara jelita ini semakin rajin memperbaiki diri dengan mengikuti kelas-kelas bimbingan agama.
Malah, Neelofa mengakui usahanya menambah ilmu agama secara tidak langsung mengisi ‘ruang’ dalam dirinya yang selama ini dirasakan seperti ada sesuatu yang tidak lengkap.
“Sekian lama Lofa mencari apa lagi yang Lofa mahukan. Lofa ada segala-galanya tetapi seakan-akan ada satu yang masih tidak cukup,” kata bintang yang nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd. Noor ini.
Perkembangan baik ini diakui sendiri oleh Neelofa menerusi temu bualnya bersama majalah WANITA keluaran Oktober.
Neelofa yang menghiasi muka hadapan majalah tersebut, merasakan dirinya menemui apa yang dicari-carinya selama ini setelah mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.
![]() |
Neelofa merancang mengikuti kursus kulinari sama ada di Amerika Syarikat atau United Kingdom tidak lama lagi. |
Pelakon dan pengacara kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mula berhijab pada awal Ramadan lalu. Kini, imej barunya itu pula menjadi ikutan peminat yang sentiasa ternanti-nantikan gaya tudung serta pakaian sopan bagaimana yang akan digayakan oleh Neelofa.
“Syukur pada Allah, dengan hidayah ini menjadi permulaan untuk diri Lofa yang baru,” akuinya.
Keputusannya untuk berubah mendapat sokongan daripada keluarga. Ia meyakinkan lagi Neelofa untuk sentiasa memperbaiki diri.
“Kini, Lofa banyak menghadiri kelas agama termasuklah usrah, mengikuti kelas tafsir al-Quran dan membaca buku yang boleh meningkatkan pengetahuan tentang ilmu agama,” katanya lagi.
Selain kisah mengenai hidupnya yang lebih tenang kini, Neelofa juga berkongsi cerita tentang konklusi cintanya yang sering menjadi perhatian ramai termasuk khabar-khabar angin yang mengaitkannya dengan seorang kerabat diraja.
Semuanya dapat dibaca menerusi kisah Neelofa di ruangan Penghias Kulit majalah WANITA yang sudah pun berada di pasaran.