http://beritaharianlive.blogspot.com/2014/09/jemaah-dinasihatkan-tidak-melakukan.html
MEKAH: Jemaah haji dinasihatkan supaya tidak melakukan 'selfie'semasa menunaikan ibadah. Seorang ulama terkemuka Arab Saudi turut menegur agar para jemaah memberi tumpuan sepenuhnya dalam menunaikan setiap rukun haji dan umrah dengan sempurna.
Portal berita arabnews.com melaporkan ulama terkenal dari Jeddah, Sheikh Abdul Razzaq Al-Badr sebagai berkata, Allah memerintahkan jemaah haji supaya menunaikan ibadah itu tanpa riyak dan tidak menghebahkannya kepada orang lain
"Ketika Rasulullah SAW tiba di miqat, baginda bersabda: "Allah memerintahkan ibadah haji dilakukan tanpa riyak dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.''
Wahyu itu disampaikan ketika baginda tiba di miqat diikuti dengan tindakan dan amalan membersihkan rohani.
"Jemaah haji sekarang gemar mengambil gambar apabila tiba di miqat. Bukan setakat itu, mereka juga mengambil gambar semasa melakukan tawaf, semasa bermalam di Padang Arafah serta ketika melontar jamrah," katanya.
Menurutnya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan tujuan mereka datang ke Mekah untuk mengambil gambar dan bukan untuk beribadah.
 |
Sekumpulan jemaah berselfie di dalam masjidilharam.-UTUSAN |
"Apabila mereka pulang, mereka akan berkata 'Mari lihat gambar saya ketika saya berada di Arafah, ini pula gambar saya semasa berada di Muzdalifah,'' jelas Sheikh Abdul Razzaq.
Rakaman selfie oleh selebriti Ellen DeGeneres pada majlis Anugerah Oscar tahun ini, menjadi terkenal dan diperkatakan di seluruh dunia dan sejak kebelakangan ini, jemaah yang menziarahi dua masjid suci di Arab Saudi turut tidak mahu ketinggalan mengikuti budaya semasa itu, walaupun bertentangan dengan amalan Islam.
Telefon berkamera sebelum ini dilarang dibawa masuk ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Namun, masih ada segelintir jemaah yang bertindak menyeludupnya untuk mengambil gambar.
Walaubagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi memberi kelonggaran dengan membenarkan gajet berkenaan dibawa masuk ke kawasan berkenaan.
Menurut seorang jemaah haji dari Jeddah yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata tindakan mereka ini mengganggu fokus jemaah lain untuk bersolat.
"Ketika saya sedang solat di Masjidilharam, tiba-tiba beberapa pelawat berjalan di hadapan saya untuk mengambil gambar imam sedang membaca khutbah," katanya.