Bajet 2015: Kecewa Kelantan dipinggirkan lagi

http://beritaharianlive.blogspot.com/2014/10/bajet-2015-kecewa-kelantan-dipinggirkan.html
KUALA LUMPUR: Kecewa terhadap pemerintahan Perdana Menteri akibat ketidakadilan dalam pentadbiran. Itulah yang dirasai oleh Ahli Parlimen dari Kelantan terhadap Bajet 2015 yang terus menerus meminggirkan negeri teraniya itu.
Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, bajet yang dibentangkan kali ini merupakan 'bajet ulangan'kerana bajet sebelum ini juga tidak memberi peruntukan khas kepada negeri Kelantan dek kerana faktor dendam.
"Kita ikuti perbentangan bajet yang diumumkan itu, banyak tempat disediakan kemudahan awam seperti lebuh raya termasuk Sabah dan Sarawak.
"Kita menyokong apa yang Sabah dan Sarawak perolehi tetapi paling memeranjatkan bila Kelantan tidak tersenarai langsung dalam pelaksanaan lebuh raya.
"Nampaknya Kelantan terus menjadi mangsa kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN), bila kita tidak pilih maka tiada peruntukan diberikan," katanya.
Menurut beliau juga, peruntukan yang kecil diberikan hanyalah menaik taraf landasan keretapi .
"...itu hanyalah peruntukan kecil... yang hanya melibatkan peruntukan RM150 juta iaitu membabitkan laluan Gua Musang ke Tumpat," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan atas prinsip Persekutuan, kerajaan sepatutnya mengagihkan kekayaan negara dengan adil.
"Rakyat Kelantan turut membayar cukai termasuk GST yang akan dilaksanakan nanti.
"Tetapi cukai yang rakyat Kelantan bayar itu tidak dikembalikan untuk pembangunan serta kemudahan awam, ini satu sikap yang tidak adil," katanya.
Jelsnya lagi, tindakan berat sebelah ini akan menyebabkan jurang kekayaan yang jauh lebih besar antara Kelantan dan Pantai Barat.
Kekecewaan turut dikongsi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Bachok yang turut menyifatkan Najib gagal berlaku adil dalam pentadbirannya serta menjadikan Kelantan sebagai dendam politik.
Dalam pada itu, mereka turut kesal apabila tidak ada seorang pun ahli-ahli parlimen BN Kelantan yang berani menegur Perdana Menteri kerana meminggirkan Kelantan.