Pembayaran manfaat Perkeso bagi 20 mangsa MH17

http://beritaharianlive.blogspot.com/2014/09/pembayaran-manfaat-perkeso-bagi-20.html
KUCHING: Pembayaran untuk perbelanjaan pengebumian dan juga pencen bulanan pertama kepada 20 waris keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine telah dibuat pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Julai lalu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem hari ini berkata pembayaran itu membabitkan lima penumpang dan 15 anak kapal pesawat malang yang juga pencarum Perkeso. Manfaat pengebumian itu berjumlah RM1,500 manakala kuantum pembayaran pencen bulanan bergantung kepada tempoh caruman.
"Jumlah pencen bulanan berbeza-beza antara RM575 dan RM2,675," katanya selepas pelancaran kursus Penilai Kemerosotan Perubatan Bertauliah (CMIA).
Manakala, berkenaan pencarum Perkeso yang merupakan antara penumpang pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, beliau berkata manfaat itu tidak dapat dikeluarkan kerana nasib mereka belum diketahui.
Bayaran hanya akan dikeluarkan apabila mereka (mangsa pesawat MAS Penerbangan MH370) masih hilang selama tujuh tahun dan akan dianggap sebagai telah mati.