Maya Karin kembali aktif

http://beritaharianlive.blogspot.com/2014/09/maya-karin-kembali-aktif.html
Setelah sah bercerai suaminya empat tahun lalu, Maya Karin tidak banyak berkongsi dengan masyarakat tentang kisah percintaannya. Mungkin empunya badan, Maya Karin masih fobia atau sedih di hati masih berbekas setelah impian untuk mendirikan rumah tangga tidak sampai ke penghujungnya.
Kemudian bermulalah episod dirinya dikaitkan dengan aktor kacak, Remy Ishak yang popular dalam drama Nur Kasih . Tetapi Maya menolak gosip tersebut.
Namun di penghujung tahun lalu, pelakon dan penyanyi berdarah kacukan Melayu-Jerman ada membuat pengakuan sedang bercinta dengan seorang jejaka luar negara. Puas media bertanya, siapakah jejaka yang bertuah itu, namun Maya bijak merahsiakan identiti jejaka yang bertakhta di hatinya sejak setahun lalu.
Lebih menguatkan lagi, Maya sering dilihat bercuti ke luar negara atas sebab mahu menenangkan fikiran, namun tidak pula empunya badan mengaku bertemu kekasih hatinya. Semua itu hanya menjadi teka-teki untuk peminatnya.
Ketika berpeluang bertemu dengan dirinya bagi mengetahui perkembangan terbaharu, Maya membuat pengakuan jujur bahawa hubungan yang terbina itu sudah menemui titik pengakhiran.
Ungkap Maya, antara sebab utama mereka berpisah kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya selain jarak yang terlalu jauh memisahkan mereka, membuatkan mereka jarang sekali berjumpa.
"Susah untuk saya cakap. Apa yang boleh saya katakan ialah tiada jodoh. Mungkin ini sudah ditetapkan oleh Tuhan.
"Masing-masing terlalu sibuk dengan perjalanan kerjaya, sampai kami tiada waktu untuk luangkan masa bersama. Faktor jarak yang jauh pun susah untuk kami berjumpa, susah juga nak terbang ke sana setiap masa.
"Keadaan tidak mengizinkan untuk kami memadu kasih. Dia ada tanggungjawabnya sendiri, begitu juga dengan diri saya yang ada mempunyai banyak tanggungjawab pada kerjaya dan keluarga," tutur Maya dengan tenang, memulakan bicara.
Mahu memadam epilog kisah sedihnya itu dengan kembali aktif dan sibuk dengan aktiviti seninya yang telah diaturkan. Tidak pernah ada istilah kalah dan mengalah bagi si jelita ini, meskipun mengakui turut sedih dan terkesan dengan cinta yang terkandas sekali lagi di tengah jalan.
"Kini saya meletakkan kerjaya sebagai nombor satu. Komitmen pada kerja sangat tinggi sebab saya tak mahu fikirkan banyak perkara selain kerja sahaja.
"Biarlah takdir yang menentukan jodoh saya. Mungkin masing-masing tidak bersedia untuk ke fasa perkahwinan, sebab itulah kami berpisah," ulas Maya yang bersikap profesional untuk berpisah secara baik.
Meskipun 2014 merupakan tahun kerjayanya yang dilihat semakin berkembang, Maya juga tidak pernah lupa untuk ‘selitkan’ dalam diarinya untuk melakukan aktiviti yang disukainya, iaitu melancong.
"Ya. Saya sangat suka mengembara melihat tempat orang di luar negara. Saya tak mahu lepaskan momen indah dalam hidup untuk melancong ke seluruh dunia.
"Sebaik sahaja habis kerja di set penggambaran, dalam beberapa hari kemudian pasti saya akan terbang ke luar negara. Ianya sangat menyeronokkan.
"Banyak kebaikan dan benda yang saya perolehi kesan daripada mengembara seorang diri di luar negara. Saya dapat mencari siapa diri saya selain ini sebagai hadiah pada diri sendiri setelah penat bekerja," kata Maya yang sudah pun memikirkan beberapa negara untuk dijelajahinya pada penghujung tahun ini.
Watak Katerina
Lakonannya dalam Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (LBS3) yang juga trilogi terakhir berdasarkan naskhah novel terhebat daripada penulis terkenal Ahadiat Akashah, Maya yang memainkan peranan sebagai Katerina akui sedih kerana filem ini sudah berakhir.
Biarupun Maya hanya menyertai LBS menerusi sekuel kedua, Maya akui peranannya sebagai Katerina dalam filem tersebut begitu dekat dalam dirinya.
"Ianya satu kenangan terindah buat saya kerana dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Sharad Sharan dan barisan pelakon seperti Farid Kamil dan Bront Palare.
"Watak Katerina dalam filem ini sangat matang sama jugalah seperti diri saya yang sebenar. Pelbagai perubahan hidup di lalui dalam mengejar fasa bahagia yang tidak kesampaian selain liku kehidupan yang terpaksa ditempuhi," ungkap Maya bercerita lanjut.
Filem LBS3 ini merupakan satu-satunya filem lakonan Maya bagi tahun 2014, jadi ini sudah membuktikan bahawa dirinya begitu memberikan komitmen sepenuhnya kepada filem ini.
Terbitan Tarantella Pictures dan Astro Shaw, filem ini sudah ditayangkan pada umum bermula 11 September lalu. Filem dengan genre drama romantik arahan Sharad Sharan ini turut menampilkan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Maya Karin, Bront Palarae dan ramai lagi.
Maya juga berkata, andai diberikan ruang, dia mahu Ahadiat Akashah meneruskan karya dalam menghasilkan kisah cinta penuh tragik seperti ini.
"Kalau boleh saya nak dia buat lagi novel berkisarkan tentang kisah cinta seperti LBS dan diadptasikan kepada filem. Semua menyukai kisah cinta seperti ini, termasuklah saya sendiri sebagai pelakon. Ia kisah yang segar dan memenuhi kehendak pasaran," ujar Maya dengan nada teruja.
Ketika berkongsi persoalan tentang cabaran yang dilalui dalam menghidupkan watak Katerina, akui Maya, tidak mudah buat dirinya kerana sekuel ketiga ini memerlukan dirinya untuk banyak menangis.
"Kalau sebelum ini dalam filem Ombak Rindu saya sudah puas melakonkan babak menangis,jadi saya ingatkan dalam filem LBS kali ini tidak banyak bermain dengan air mata.
"Tetapi Sharad mahu saya melakonkan watak menangis lebih banyak kerana mahu memberikan elemen watak Katerina itu lebih terkesan di hati penonton.
"Selain banyak kena keluarkan air mata, saya juga banyak menggunakan tenaga. Ketika babak saya bersama dengan Bront Palare di penghujung cerita, kami memberikan sepenuh kekuatan tenaga antara kedua-dua pihak. Sebab penghujung cerita biasanya perlu lebih dramatik.
Selain itu juga, kerjasama dengan pelakon dan kru produksi juga membuatkan lagi perjalanan penggambaran ini menjadi lebih mudah dan lancar.
"Selama lima minggu terlibat dalam penggambaran yang kebanyakannya di Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi, kesemua pelakon yang terlebih dahulu sertai LBS tidak pernah lokek membantu saya.
"Sebelum ini pun saya pernah berlakon dengan Bront Palare dan Farid Kamil, jadi tidak sukar untuk mencari keserasian bersama.
"Malah lebih mengujakan lagi, walaupun terikat dengan jadual penggambaran, saya rasa seperti bekerja sambil bercuti," jelas penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25.